Berkongsi pemikiran bersama anda demi menimba ilmu dan kemajuan bersama.

Friday, 23 December 2011

Cabaran politik Malaysia dalam perjalanan mencapai status negara maju: Menjelang PRU ke-13.


Dalam pembinaan sesebuah negara, terdapat empat (4) konsep utama, iaitu bangsa, negara, kerajaan dan perlembagaan. Itulah juga asas kepada pembinaan negara Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963. Sebelum penubuhan Malaysia yang dipelopori oleh Tuanku Abdul Rahman Putra, terdapat beberapa wilayah, iaitu Semenanjung Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah).

Persekutuan Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Berdasarkan rekod sejarah, UMNO yang diasaskan oleh Datuk Onn dan seterusnya dipimpin oleh Tuanku Abdul Rahman Putra berperanan dengan MCA telah membentuk suatu pakatan politik yang dikenali sebagai Parti Perikatan. MIC, pula menyertai Perikatan pada tahun 1955. Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam pilihanraya 1955. Tidak dinafikan bahawa parti Perikatan yang diketuai oleh Tuanku Abdul Rahman berperanan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Tuanku Abdul Rahman juga mencetuskan idea untuk menubuhkan sebuah gagasan Malaysia, iaitu menyatupadukan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (Borneo Utara).Dalam satu sidang akhbar di Singapura pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Malaya mencadangkan supaya Persekutuan Malaya digabungkan dengan Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah (Borneo Utara) untuk menubuhkan sebuah negara baharu bernama Malaysia.

Pada 16 September 1963, Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sarawak dan Sabah bersatu menubuhkan sebuah negara baharu bernama Malaysia. Dengan itu, Sarawak dan Sabah bebas daripada penjajahan British. Dalam usaha untuk memajukan setiap daerah dalam setiap negeri di Malaysia, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan termasuk kerenah politik penduduk tempatan. Singapura pula, keluar dari gagagsan Malaysia untuk menjadi republik pada tahun 1965. Malaysia juga terpaksa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis dan juga Indonesia. Banyak harta benda musnah, dan penduduk dan anggota keselamatan turut terkorban akibat daripada ancaman pengganas komunis dan Indonesia. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia pulih apabila Jeneral Suharto menjadi Presiden Indonesia menggantikan Bung Karno atau Sukarno. Namun, ancaman daripada pengganas komunis berterusan. Pembangunan di kawasan-kawasan yang menjadi sarang komunis tergendala, akibatnya rakyat mundur dan ketinggalan daripada arus pembangunan.

Peristiwa 13 Mei 1969, suatu detik hitam dalam hubungan kaum di Semenanjung Malaysia. Tercetusnya peristiwa berdarah yang mengorbankan orang Melayu, Cina dan India itu disebabkan api perkauman yang dicetuskan oleh sebilangan politikus yang terlalu ghairah dan emosional. Namun peristiwa berdarah itu tidak berlaku di Sarawak dan Sabah. Selepas peristiwa 13 Mei itu, kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi Baharu dan Rukun Negara. Pilihanraya Umum Sarawak dan Sabah yang tertunda akibat Periswa 13 Mei, diteruskan pada Jun, 1970 selepas tamatnya darurat. Selepas tamatnya pilihanraya umum tersebut Abdul Rahman Yakub (kini Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub) diangkat sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-3. Suasana politik Malaysia mula stabil. Namun demikian, usaha untuk menamatkan ancaman pengganas Komunis tetap diteruskan. Pada tahun 1974, ancaman pengganas komunis di Sarawak berakhir dengan termetrinya Perjanjian Sri Aman yang berlangsung di Simanggang, Bahagian Kedua Sarawak. Dengan itu, Simanggang telah ditukarkan namanya menjadi Bandar Sri Aman. Pembangunan di negeri Sarawak, negeri terbesar di Malaysia mulai rancak dan begitu juga di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Lawatan bersejarah oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak ke China telah memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China, dan sekali gus turut mengakhiri ancaman pengganas komunis di Malaysia.

Perpaduan kaum terus diperkukuhkan apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dalam keadaan politik Malaysia, perpaduan rakyat pelbagai kaum kunci kepada kemajuan rakyat. Jika perpaduan kaum itu rapuh, maka segala usaha untuk memajukan negara akan terganggu. Bidang sains dan teknologi terus diterokai apabila Dr. Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4. Kereta buatan Malaysia, Proton Saga mulai dipasarkan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa. Dengan itu, bermula era kereta Malaysia dan juga motosikal buatan Malaysia. Pusat pentadbiran baharu kerajaan Malaysia, Putrajaya mulai berdiri megah dan begitu juga lapangan terbang antarabangsa baharu Malaysia di Sepang terbina. Di samping itu, Wawasan 2020 yang mempunyai 9 cabaran untuk membolehkan Malaysia menjadi negara maju diperkenalkan sebagai landasan negara yang jelas. Universiti-universiti awam dan swasta turut berkembang dengan pesat. Apabila Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Pendidikan, bahasa Melayu yang dijadikan bahasa rasmi, kebangsaan dan bahasa ilmu mulai diperkukuhkan. Sebutan baku bahasa Melayu direalisasikan dan TV3 menjadi nadi untuk tujuan tersebut.

Pergolakan politik dalam negara mulai terasa apabila Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri atas alasan tertentu. Parti politik seperti PAS dan DAP mulai mendekati Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan itu juga, bahasa baku dibatalkan dan Bahasa Melayu mulai terjejas kewibawaannya.

Usaha mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhammad meletakkan Malaysia sebagai negara membangun yang pesat membangun amat saya sanjung tinggi. Dengan tempoh masa yang singkat Malaysia mulai menempah nama di peta antarabangsa. Cuma suatu sahaja tindakan dan keputusan Tun Dr. Mahathir Muhammad yang tidak saya setujui, iaitu tidak yakin akan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk sebagai bahasa sains dan teknologi. Keputusan tersebut menyebabkan kerajaan secara tergesa-gesa tanpa sebarang kajian menjadikan bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik. Tindakan tersebut ibarat orang mengantuk disurungkan bantal kepada mereka yang memang anti- Bahasa Melayu. Semenjak itu, bahasa Inggeris didaulatkan dan dianggap satu-satunya bahasa yang terbaik sehingga bahasa Melayu terpinggir! Kini kita lihat, betapa angkuh dan sombongnya pihak tertentu memperjuangkan semula agar bahasa Inggeris dijadikan bahasa untuk mengajar Matematik dan Sains di sekolah. Pendidikan sudah dijadikan alat politik yang boleh menjejaskan bukan hanya kestabilan politik negara tetapi juga masa depan pelajar di sekolah. Lebih-lebih lagi setelah kerajaan tunduk kepada tuntutan sebilangan kecil politikus agar novel Interlok digugurkan sebagai KOMSAS untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Itulah antara cabaran politik yang harus dihadapi dalam perjalanan Malaysia untuk mencapai status negara maju. Dengan ini, adalah menjadi harapan kita agar UMNO, PAS, PKR, DAP dan semua parti politik di Malaysia harus bijak berpolitik dan jangan sampai perjalanan kita untuk mencapai status negara maju hancur. Jangan samakan suasana politik negara kita dengan negara-negara lain sebab suasananya jauh berbeza. Dalam memperjuangkan tuntutan itu hendaklah juga jangan lupa akan sejarah negara. Bersatu kita menjadikan Malaysia sebagai negara maju berkelas dunia pertama yang rakyatnya hidup aman damai. Hentikan politik menyerang peribadi masing-masing sebab bukan itu yang rakyat mahu. Rakyat mahu bagaimana kehidupan mereka itu bahagia, harga barangan di pasaran terkawal dan segala kemudahan awam boleh dinikmati setiap lapisan rakyat dengan mudah.

Related Posts





0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Premium Wordpress Themes